Hak isteri untuk suami berpoligami

KELUARGA
ARKIB : 24/10/2008



-->
Hak isteri untuk suami berpoligami

SOALAN:SAYA mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan bersekolah. Saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Masalahnya kini, suami saya ingin berkahwin lagi. Saya terpaksa akur dengan kehendak suami untuk berkahwin dua apabila memikirkan masa depan anak-anak. Tetapi saya mahu hak-hak saya dan anak-anak terjamin. Betulkah suami tidak wajib memberi nafkah sekiranya isteri bekerja? Adakah apa-apa peruntukan atau prosedur untuk saya pertahankan hak saya dan anak-anak? Bantulah saya.

Hasnah Maleek,
Petaling Jaya.


Jawapan:
Dalam perundangan di Malaysia, poligami dibenarkan tetapi wajib mendapat kebenaran mahkamah syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukan dalam seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Menurut seksyen 23(4) dan (5) Enakmen, dalam memberikan keizinan, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa perkara dan antaranya ialah mengapa perkahwinan poligami ini patut atau perlu, pendapatan suami, sama ada suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperoleh dan perkahwinan tersebut tidak akan mengakibatkan darar syarie kepada isteri sedia ada.
Berpoligami atau tidak, adalah menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Undang-undang memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintah seorang suami untuk membayar nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Seksyen 60(1) Enakmen memperuntukkan kuasa ini. Oleh itu puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk tuntutan nafkah.
Puan perlu menyenaraikan tuntutan nafkah yang diperlukan sebagai contoh bil elektrik, air, telefon, bas sekolah anak-anak, yuran persekolahan, belanja harian persekolahan anak-anak, pakaian, kelengkapan rumah, perbelanjaan harian puan, dan lain-lain lagi. Tanggungjawab suami ke atas nafkah isteri dan anak adalah berterusan walaupun isteri bekerja. Ia tidak bermakna suami boleh lepas tangan dan tidak membayar nafkah.
Seksyen 129 Enakmen memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Puan boleh membuat suatu perjanjian persetujuan bersama suami mengenai nafkah-nafkah puan dan anak-anak, harta sepencarian dan apa-apa persetujuan yang difikirkan perlu. Setelah perjanjian dibuat, puan boleh memohon kepada mahkamah supaya perjanjian tersebut dijadikan suatu perintah mahkamah.
Melalui perjanjian ini, puan berhak untuk memastikan hak puan disempurnakan sebaiknya. Ini termasuklah hak puan dan anak-anak untuk mendapat nafkah seperti mana yang pernah dibayar atau disempurnakan oleh suami sebelum ini. Sekiranya puan dan suami mempunyai harta atau aset yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan, harta itu juga boleh dibahagikan dengan perintah mahkamah sebelum suami puan dibenarkan oleh mahkamah untuk berkahwin lain

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang