Alkisah mangkuk kelapa...


Prnnnng

Pinggan kaca atuk jatuh ke lantai. Kaca berkecai dengan nasi lauk bersepah di atas lantai.

Saya cuba nak membantu mengutip pinggan yang berkecai itu.

"Mal jangan gerak. Nanti tangan terhiris," mak menjerit.

"Abang, papa abon bagi ke bilik dulu. Saya nak bersih sini dulu," kata mak.

Ayah pun memapah atuk yang mengalami penyakit nyanyuk ke dalam bilik.

Atuk kini 85 tahun macam budak-budak, pandai merajuk, tapi hilang kawalan pada tindakannya.

Kadangkala atuk tidak sempat ke tandas dan mengotorkan bilik sehingga menyebabkan mak tersapu menghabiskan masa untuk membersihkan katil, cadar, tilam dan mop lantai.

Saya yang berumur 10 tahun ketika itu tidak dapat membantu banyak.

Masa itu setiap hari mendengar mak merungut bila atuk membuat sesuatu sehingga mak perlu menghabiskan masa untuk bersih.

"Dia bawa ayah dia tinggal sama kata nak jadi anak soleh. Akhirnya saya yang jaga. Dia mudah kerja kat luar. Saya kena masak, kena suap makan, kena pungut tahi.... apa yang dia tahu? Balik makan sahaja," bisik mak.

Tapi setiap kali mak selesai tugas dia, mak pula akan berbisik, “Tak apalah demi suami tercinta. Sama-sama dapat pahala, jangan berkira sangat.”

Saya yang kecil masa itu tak faham mengapa kata-kata mak boleh naik turun sebegitu hebat.

Perkara ini berlarutan sehingga satu hari mak jatuh sakit.

Ayah terpaksa mengambil cuti untuk menjaga atuk, mak, saya dan adik.

Hari itu, atuk entah mengapa tetiba buat perangai tiga kali. Bilik atuk busuk dengan bau najis.

"Abon. Anakanda dah cukup susah. Yin dah jatuh sakit. Boleh tak abon jangan buat perangai. Abon ini menyusahkan anakanda tahu," ayah memarahi atuk.

Atuk memandang ayah - tak pasti atuk faham ayah sedang memarahinya.

"Mal datang tolong. Pergi kutip baju itu kat luar hari hujan lepas itu ambil air datang tolong bersihkan atuk," kata ayah dengan marah.

Saya pun cepat-cepat pergi membuat apa yang disuruh.

"Mal mengapa kamu lambat sangat? Mana air?" jerit ayah lagi.

Ketika saya habis kutip baju, saya cepat-cepat mengambil ayah untuk membersihkan atuk.

Bila sampai ke bilik atuk, kelihatan mak sedang membantu ayah membersihkan bilik atuk. Saya berdiri di pintu, tak berani masuk kerana melihat muka mak dan ayah dalam keadaan marah.

Mak dan ayah tidak bercakap sepatah pun. Masing-masing muka geram.

Atuk pula bersenyum dan berkata, “Hebat suami-isteri ini. Jerit-jerit marah-marah tapi masih kerjasama lagi. Kamu semua dari planet mana?”

Mendengar kata-kata atuk, mak dan ayah tergelak.

“Ini yang ayang lalui setiap hari di rumah. Abang tak di rumah tak tahu ayang hidup susah menjaya abon demi abang. Tahap kesabaran abang memang tak setanding ayang. Memang susah jaga abon terutamanya bila dia buat perangai. Abang ingat kerja di pejabat susah, rupa-rupanya kerja ayang lebih perit berganda dari abang,” kata ayah.

Mak terus memeluk ayah.

“Ayang rela. Cuma kadang-kala perlu rungut lepas frust. Asalkan abang faham ayang buat ini untuk abang, ayang dah puas hati,” kata mak.

“Aduh malunya… budak kecik-kecik jangan main peluk-peluk. Kahwin ke belum,” sergah atuk.

Mak dan ayah tergelak.

“Dah kahwin la abon. Abon lupa ke? Abon gelak sampai darah tinggi naik masuk hospital,” jawab ayah sambil tergelak.

“Tinggi aku baru 5 kaki 2, darah itu tinggi berapa masa gelak?” jawab atuk sehingga mak ayah tak berhenti ketawa.

Kemudian, mak dan ayah meneruskan kerja membersih bilik atuk dengan riang.

“Ayah nak air ini lagi tak?” tanya saya.

“Boleh bawalah,” jawab ayah. “Ok. Pergi belajar dan jaga adik. Sini mak dan ayah selesaikan. Ini abon kami. Lain kali, Mal akan jaga mak dan ayah macam ini bila tua nanti?”

Saya hanya mengangguk.

Selepas peristiwa itu, mak tidak lagi merungut apabila menjaga atuk seorang diri di rumah sehinggalah atuk meninggal dunia.

Ayah sudah lebih pandai mengambil hati mak, di mana hujung minggu, mak diwajibkan cuti dua hari – ayah yang menguruskan segalanya bagi pihak mak di dalam rumah – erti kata lain ayah pula yang jadi suri rumah.

Walaupun atuk nyanyuk, tapi secara tidak sedar, atuk adalah penyeri di rumah. Hubungan mak dan ayah juga bertambah baik dan saya akan menjaga mak dan ayah sebagaimana mereka menjaga atuk tanpa berbelah lagi selagi masa diberikan Allah untuk saya berbuat demikian.

Wahai anakku,
Hargai setiap ahli keluargamu ketika kamu masih berpeluang. Riang bahagia untuk tiga generasi berhibur bersama sangat singkat. Oleh itu, laluinya dengan gelak ketawa daripada marah-marah yang membazirkan masa dan memenatkan hati.

Jika kamu tidak dapat menjadi penulis yang memberi manfaat, jadilah pembaca yang memberi manfaat kepada orang lain.

Senyum.

Comments

Popular posts from this blog

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang