Pesan Ibu

Beberapa bulan ini ramai yang menulis kepada Ibu meminta nasihat mengenai keadaan rumah-tangga mereka. Apa yang selalu diminta ialah nasihat samada untuk bertahan di dalam rumah-tangga yang penuh kekejaman. Contohnya, suami menijak isteri semasa mengandung. Dera fizikal, dera mental dan dera emosi bukan saja oleh suami kepada isteri tetapi juga isteri kepada suami.
Oleh itu belajar dari keadaan ini, satu perkara yang ingin Ibu bawa ketengah dan Ibu berharap yang masih belum berumah-tangga atau jika anda ada kawan-kawan atau adik-adik yang masih belum berumah-tangga, harap dipanjangkanlah pesanan ini kepada mereka juga.
Sebelum mendirikan rumah tangga, kaji selidiklah orang itu. Lihat latar belakang keluarganya. Bagaimana corak hidup mereka. Bagaimana cara dan corak mereka berfikir. Bagaimana keperibadian mereka. Dari situ anda akan mendapat sedikit gambaran bagaimana keadaan rumah-tangga anda nanti.Ingatlah bila anda berkahwin, anda bukan hanya berkahwin dengan orang itu, anda juga 'berkahwin' dengan keluarganya!
Kaji juga cara hidup orang yan hendak dikahwini itu. Bagaimana kefahaman agamanya. Adakah jumud atau luas. Adakah dia hanya pandai menegaskan hukum tetapi tidak beramal.
Lihat pertaliannya dengan ibu dan bapanya. Adakah dia anak yang menghormati emak bapak? Adakah pertaliannya dengan ayah dan emaknya terhimpit dengan dia mesti ikut semua kata-kata mereka. Bermaksud, dia tiada ruang untuk hidupnya.
Bersama itu, yang lebih penting dan utama ialah bersolat istikarah dan hajat. Pohonlah petunjuk dari Allah swt. Allah yang Maha Mengetahui.
Bukan bermaksud jika kita lakukan ini semua, rumah-tangga kita akan sunyi daripada masalah dan cabaran. Kerana itu adalah asam-garam hidup. Namun, bila ini telah dilakukan, cara mendapat maufakat akan lebih mudah.
Selain itu, kita tahu bahawa kita telah melakukan yang terbaik yang boleh seorang manusia lakukan dalam usaha memilih pasangan yang terbaik untuk kita. Kita telah menunaikan tanggung-jawab kita kepada diri kita. Selainnya kita lepaskan kepada yang lebih mengetahui.
Sebelum tersalah faham maksud Ibu, ingin Ibu menyatakan di sini, bila ada masalah yang dialami di dalam rumah-tangga bukan semestinya bermaksud, anda tersalah pilih pasangan, terutama sekiranya anda sudah bersolat hajat dan istikarah. Fahamilah cabaran tetap akan datang.
Lihatlah ia sebagai satu peluang untuk menguatkan lagi pertalian anda suami isteri.
Payah untuk Ibu katakan bila ada yang bertanya patutkah saya bercerai saja.
Oh, itu amat berat untuk dijawab dan Ibu juga tidak mahu menjadi hakim di sini. Perceraian adalah satu perkara yang dibolehkan oleh Allah tetapi satu perkara yang paling Dia tidak suka.
Oleh itu, jika keadaan begitu tersepit, bersolat hajat dan istikarahlah kepadaNya dan berdoalah supaya Dia memberi petunjuk. Dan terimalah petunjuk yang diberi. Adakalanya bercerai adalah jawapannya. Namun, banyak situasinya, bersabar dan terus bersama adalah yang lebih baik.
Kepada yang belum berkahwin, pilihlah pasangan dengan meminta petunjuk Allah. Bagi yang sedang menghadapi jalan persimpangan, anda juga perlu merujuk kepada NYA. Kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Wallahu 'alam.

- Prof. Dr. Rozieta Shaary

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang