Dilema Isteri Bekerja

Dilema Isteri Bekerja dan Keputusan Majlis Fiqh Sedunia Dilema isteri berkerja. Saya percaya, ramai di kalangan isteri yang bekerja mempunyai pelbagai dilema antaranya tak cukup waktu untuk menguruskan diri sendiri, suami dan anak-anak, seolah-olah 24 jam sehari tak cukup untuk isteri merangkap ibu melakukan segala beban kerja.

Di bandar-bandar besar, kebanyakan isteri didorong untuk keluar kerana bekerja atas alasan tekanan keperluan kehidupan. Satu perkara yang lumrah pada hari ini untuk dikatakan bahawa pendapatan yang hanya datang dari pihak suami kurang mencukupi bagi sesebuah keluarga menjalani kehidupan mereka. Apatah lagi dalam keadaan taraf kehidupan pada hari ini yang semakin tinggi. Oleh sebab itu, isteri secara sukarela mengambil keputusan untuk keluar rumah bekerja bagi mendapatkan pendapatan lebih bagi keluarganya sebagai memastikan keluarganya berada dalam keadaan yang selesa.Apabila isteri-isteri ini sudah berada di luar rumah, maka mereka terpaksa memendekkan masa dalam mengurus hal-hal rumah tangga. Sesetengah mereka tidak menghadapi masalah kerana ahli-ahli keluarga yang lain, terutamanya pihak suami memahami keadaan mereka. Walaupun demikian, sesetengah mereka yang lain merasa agak tertekan kerana keluarga masih menuntut perhatian secara sepenuhnya apabila wanita ini pulang dari tempat kerja. Masalah ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang berpendidikan sederhana tetapi turut dialami oleh mereka dari golongan professional seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya. Sesetengah kaum suami tidak menyedari dan tidak cuba memahami tekanan yang dialami oleh isteri mereka kerana menganggap bahawa kerja-kerja di rumah mudah untuk dilaksanakan dan ia adalah suatu fitrah untuk dilaksanakan oleh kaum isteri. Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah suatu dilema dalam diri isteri berkenaan.

Dilema yang dialami merupakan suatu rasa keliru dan bersalah berhubung peranan mereka sebagai seorang isteri (dan juga ibu) dengan tuntutan naluri sendiri untuk bekerja. Rata-rata golongan wanita yang berpendidikan amat memahami tentang konsep kedudukan wanita dari segi syariahnya dan cuba untuk menyempurnakan tanggung jawab tersebut secara sempurna. Akan tetapi, keadaan mereka yang bekerja sudah tentu menghalang pelaksanaan ini dibuat secara sempurna dan tekanan menjadi lebih berat apabila pihak suami mempertikaikan kegagalan mereka melaksanakannya dengan sempurna (disebabkan keizinan yang diberikan oleh suami kepada isterinya adalah keizinan separuh hati). Tuntutan tanpa toleransi dari pihak suami terutamanya seolah-olahnya menjadi syarat yang menderakan bagi mendapatkan keizinan dari suami untuk memiliki kerjaya. Hal ehwal rumah tangga masih sepenuhnya berada di atas bahunya. Sekalipun kewujudan pembantu rumah sewajarnya dapat mengurangkan beban kerja yang ada, tetapi sesetengah suami tetap mahukan urusan-urusan tertentu dilakukan oleh pihak isteri kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja pembantu rumah.

Keletihan isteri tidak diambil kira dan menganggap bahawa, oleh sebab suami merupakan ketua rumah tangga dan isteri berkewajipan mentaatinya, maka dia mempunyai hak untuk mempertikaikan kepatuhan dan ketaatan isteri terhadapnya. Bagi wanita yang berhadapan dengan situasi ini, mereka akan menganggap bahawa mereka tidak dilayan dengan adil dan pihak suami sebenarnya telah memanipulasi kuasa kepimpinannya di dalam keluarga.Sekiranya keadaan ini dibiarkan saya percaya tekanan yang dialami akan menjadikan keadaan rumah tangga yang kurang sihat selain berlakunya ketidak-stabilan dalam rumah tangga. Hasil penyelidikan yang dibuat oleh majalah-majalah yang berkonsepkan feminisme menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah isu yang remeh-temeh malah perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Keadaan yang kurang menyihatkan ini perlu ditangani agar tidak menyebabkan kerapuhan institusi kekeluargaan dan merantaikan masalah-masalah sosial yang lebih buruk. Di dalam hal ini, sudah pasti kaum wanita yang menghadapinya inginkan penyelesaian yang diredhai oleh Allah SWT, tidak merasa bersalah untuk memberi penumpuan kepada kerjaya dan masih merupakan seorang isteri atau ibu yang taat dengan perintah Allah.

Dapat kita perhatikan di sini bahawa masalah yang dihadapi oleh isteri dalam dilema ini sebenarnya ialah penerimaan hakikat oleh pihak suami dalam kesediaan mereka untuk bertoleransi dengan keadaan tersebut. Dalam surah An-Nisaa ayat ke 34, Allah telah berfirman,

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."

Ayat ini mengupas tentang kepimpinan seseorang lelaki dan kuasa autokrasinya, yang antara natijahnya memerintahkan ketundukan dan ketaatan pihak wanita atau isteri terhadapnya. Kepimpinan ini adalah disebabkan beberapa kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada golongan ini berbanding wanita. Dan kelebihan ini sebenarnya disertai dengan pelaksanaan tanggung jawab yang besar. Apabila seorang lelaki menjadi ketua rumah tangga, dia bertanggung jawab untuk mencari pendapatan demi memberi perlindungan dan makan pakai kepada ahli keluarganya. Selain itu, dia juga perlu menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak, juga sumber bagi setiap ahli keluarganya melakukan aktiviti-aktiviti sosial. Dan yang paling utama ialah memastikan akidah setiap ahli keluarganya tidak terpesong. Tanggung jawab ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf." (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Di dalam Islam, perbincangan yang berkaitan dengan rumahtangga lazimnya menjadikan kedua-dua dalil yang dinyatakan sebelum ini sebagai asas dan prinsip yang menjadi pegangan dalam berumahtangga. Walau bagaimanapun, konsep "lelaki adalah pemimpin atau ketua bagi wanita" sebenarnya perlu sama-sama diseimbangkan dengan ketentuan-ketentuan yang lain dalam ajaran Islam. Dan dalam konteks ini keseimbangan dan kesaksamaan perlu diwujudkan dalam menyediakan penyelesaian berhubung pengurusan rumah tangga disebabkan isteri sama-sama keluar bekerja. Iaitu suatu penyelesaian yang bersifat fleksibel dan tidak mengetepikan kepentingan dan kebajikan kaum wanita.

Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja, sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri. Jika terdapat mana-mana suami yang membuat syarat yang isteri terpaksa bekerja kerana suami tidak mampu menampung perbelanjaan rumah jika cuma suami seorang menjana pendapatan, maka hendaklah:-kedua-dua suami-isteri mempunyai 'planning' sebaiknya. Suami kena plan bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda. bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak. berbentuk 'temporary', sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak-pinak dalam keadaan yang lebih selesa. memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan. menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu.

Adapun, menjadikannya syarat seperti 'syarat yang paling utama' serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, ini sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Pasti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang. Cuma fikir semula sebelum bantah secara total. Apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri: didik anak dengan hebat dan berkesan layan suami dengan baik, senyum melebar setiap kali bertemu suami yang 'penat' bila balik, tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan, memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja untuk in-charge untuk menjaga berak kencing anak, basuh baju, gosok baju, sidai, angkat dan lipat baju, urut badan suami, masak sedap-sedap, basuh pinggan-mangkuk, sapu dan buang sampah, kemas rumah, cuci tandas, tangani karenah anak dengan baik, ajar anak mengaji, tidak membebel, tidak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan, tidak muncung dan lain-lain. Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami 'demand' hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur. Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut di ambil-alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu.

Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap 'cover' sebahagian kerja-kerja teknikal tadi.Kesimpulannya, suami perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumah tangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab di rumah, kerana suami yang 'beri' dan 'minta' isterinya bekerja from the very beginning atas sebab-sebab yang disebutkan di atas. Justeru, suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkara yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain. Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Secara ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO.

Buat para suami, cuba lihat sedalam-dalamnya, patutkah isteri bekerja untuk membantu anda meneguhkan ekonomi? Apakah tanda aras keteguhan ekonomi? Dan sampai bila mampu tercapai? Jangan biarkan kebahagiaan rumahtangga tergadai dan bercerai kerana terlalu asyik mengejar duniawi.Fikir- fikirkanlah!

Panduan buat suami isteri bekerja - Keputusan majlis Fiqh SeduniaSebagai panduan buat suami isteri bekerja, disertakan keputusan majlis Fiqh Sedunia tentang perkara berkaitan. Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-

1. Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri. Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Syariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, sama ada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara beliau membelanjakannya.

2. Nafkah perkahwinan. Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3. Isteri keluar bekerja. Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4. Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga. Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu-membantu dan bertolak-ansur di antara suami isteri.Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan mereka termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)

5. Kerja Sebagai Syarat. Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.

6. Perkongsian isteri dalam pemilikan harta. Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.

7. Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan. Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberapa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Syariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.

Kesimpulan UZAR: Fitrah wanita menuntut perhatian utama mereka untuk suami, anak dan keluarga. Dan silibus kejayaan mereka adalah dalam bidang ini.Wanita dibenarkan bekerja jika keperluan yang disebutkan di atas benar-benar berlaku.Walaupun wanita dibenarkan bekerja, ia tidak bererti suami boleh duduk berehat jaga anak di rumah. Sepatutnya suami perlu meningkatkan kualiti diri untuk lebih maju ke hadapan sehingga boleh menanggung keluarga tanpa bantuan isteri.Suami isteri bekerja adalah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan tidak digalakkan isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab yang mendesak. Sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli belah (sehingga menggadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri adalah tidak diterima oleh Islam.

Menurut Syeikh Prof Dr Md 'Uqlah, tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia (menurut asbab kepada hukum alam). Komen saya: ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar. Malangnya mereka tidak menganggap besar dan mulianya tugasan itu sehingga mereka mencari kerjaya di luar rumah yang menghasilkan sedikit gaji yang dicintainya. Justeru, kembalilah sebagai pencipta kejayaan lelaki dan wanita dari rumah. Ia adalah silibus kejayaan wanita dalam Islam.Hadith Nabi s.a.w..:Daripada Salman bin 'Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim. "Hadith riwayat al-Tirmizi

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang