Warkah buat anakku sayang: Harta Dunia

Wahai anakku,
Sekiranya engkau mampu bertanya pada mereka yang telah pergi lebih awal untuk menemui Allah, percayalah jika mereka diberi peluang untuk mengulangi masa mereka di dunia ini mereka akan berebut untuk nikmat di akhirat dan bukan perkara-perkara menyeronokkan yang sementara di dunia ini.

Ingatlah kamu, wahai anakku, bahawa kamu dibawa ke dunia ini untuk menyembah Allah dan beribadat kepada Allah. Dunia ini bukan dicipta untukmu berebut sesama sendiri untuk habuan dunia, yang sudahpun ditentukan oleh Allah dari awal lagi.

Wahai anakku,
Jangan kamu terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tiada masa dengan Allah kerana antara tanda-tanda iman telah ditarik dari hati ialah Allah akan sibukkan hambanya dengan urusan dunia semata-mata.

Wahai anak kesayanganku, engkau harus peka dengan masa yang kamu luangkan dengan Allah. Antara tanda-tanda imanmu semakin lemah ialah kamu terlalu sibuk dengan urusan dunia, urusan anak-anak, urusan perniagaaanmu, urusan memburu harta, kuasa, pangkat dan pengaruh – kerana kamu terlalu memerlukannya sehingga kamu terasa kamu berasa sangat rugi dan tidak boleh hidup tanpa perkara-perkara duniawi ini.

Wahai anakku,
Jangan engkau cemburu apabila melihat orang lain lebih daripada kita dari segi gaji, pangkat, harta, rumah besar mahupun kereta besar jika kamu tidak pernah cemburu melihat ilmu orang lain lebih daripada kita.

Jangan engkau cemburu dengan pangkat orang lain jika kamu tidak pernah cemburu melihat orang lain lebih banyak amalan daripada kita.

Jangan sesekali engkau cuba cemburu dengan harta orang lain jika kamu tidak pernah cemburu apabila melihat orang lain bangun di sepertiga malam untuk solat tahajud dan bermunajat.

Jangan pula engkau cemburu dengan kereta baru yang mewah orang lain tatkala kamu jarang cemburu apabila melihat orang lain yang boleh khatam Al'Quran sebulan dua kali.

Wahai anakku,
Awasilah petanda-petanda ini di mana habuan dunia mengatasi segalanya. Jangan engkau sibuk meraikan hari jadimu sehingga kamu terlupa bahawa kamu semakin dipanggil Ilahi dengan bertambahnya umurmu.

Sepatutnya peningkatan umur sepatutnya dijadikan kamu sebagai muhasabah mengenai penyediaan bekalan ke satu perjalanan yang jauh yang tidak akan kembali buat selama-lamanya.

Wahai anakku,
Kerinduan bertemu Allah subhanahu wa ta’ala umpama angin semilir yang menerpa qalbu, membuatnya sejuk dengan menjauhi gemerlapnya dunia. Siapapun yang menempatkan qalbunya di sisi Rabb-nya, ia akan merasa tenang dan tenteram. Dan siapapun yang melepaskan qalbunya di antara manusia, ia akan semakin gundah gulana.
Ingatlah, wahai anakku, kecintaanmu terhadap Allah tidaklah akan masuk ke dalam qalbumu yang mencintai dunia.

Ketahuilah wahai anak kesayanganku,
Jika Allah subhanahu wa ta’ala cinta kepada seorang hamba itu, maka Allah subhanahu wa ta’ala akan memilih dia sebagai tempat pemberian nikmat-nikmat-Nya, dan Ia akan memilihnya di antara hamba-hambaNya, sehingga hamba itu pun akan menyibukkan dunianya hanya dengan ibadah kepada Allah.

Lisannya senantiasa basah dengan berzikir kepada-Nya, anggota badannya selalu dipakai untuk berkhidmat kepada-Nya.

Senyum

Ya Allah, cintailah aku dan keluargaku. Janganlah Kau berpaling dari kami... Pilihlah kami sebagai tempat pemberian nikmat-nikmatMu.

Aamiin.

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah