Warkah buat anakku: Rezeki Hak Allah
Wahai anakku
Setiap manusia telah ditentukan lorong rezekinya oleh Allah. Sekiranya kamu telah menemui lorong tersebut, istiqamahlah kamu di atasnya kerana itulah lorong rezekimu. Jangan sesekali kamu dengki dengan orang yang lebih darimu, kerana Allah telah tentukan bahagian masing-masing sejak alam rahim lagi.
Wahai anakku,
Orang yang tamak akan ditipu oleh dunia, sehingga tiada masa dengan Allah. Kesibukannya mencari rezeki di dunia menyebabkan penilaiannya turut berubah. Ia memandang besar apa yang ada di dunia, sehingga segala yang disediakan oleh Allah di akhirat dianggap kecil. Ketahuilah wahai anakku, perumpamaan dunia hanyalah sekadar mana air lautan yang melekat di jari yang dicelup dalam lautan, sedangkan akhirat ialah sebanyak mana air laut itu.
Wahai anakku,
Tentulah kamu rasa pelik bilamana ada manusia yang hanya berebut sesuatu yang sedikit di dunia ini, sedangkan yang lebih banyak dan kekal di akhirat dibiarkan.
Wahai anakku,
Janganlah kamu termasuk dalam kelompok yang ditipu oleh dunia, sedang ia semakin jauh dengan nikmat sebenar di akhirat. Mereka sanggup bertungkus-lumus mengejar sesuatu yang akan luput sehingga tiada masa dengan Allah. Sedarilah wahai anakku, sesiapa yang tiada masa dengan Allah, nescaya Allah tiada masa untuknya.
Wahai anakku,
Selagi mana kamu memelihara segala hak Allah, nescaya Allah memelihara hak kamu. Apakah kamu bimbang terhadap rezekimu lagi, sedangkan yang memeliharamu ialah Allah yang dalam gengamanNya segala kekayaan dunia dan isinya.
Wahai anakku,
Rasulullah dan para sahabat pernah dipulau, disisih, dikenakan sekatan ekonomi, ditekan dari sudut kebendaan agar meninggalkan ajaran Islam; musyrikin menyangka Baginda dan Islam akan padam dengan tekanan itu. Namun, Allah rezekikan yang lebih baik dari apa yang golongan musyrikin sangka. Kerana itu, aku tidak bimbang sedikitnya rezekimu namun apa yang aku bimbang kamu kaya dengan yang haram, menyebabkan segala keberkatan dan rahmat Allah akan tercabut dari kamu.
Wahai anakku,
Bilamana keberkatan hartanya hilang, maka segala harta akan merosakkan dirinya, atau keluarga dan anak-anaknya. Kerana itu jangan kamu taajub kepada seseorang yang dikurniakan harta yang banyak dari sumber yang haram, kerana kalau mereka sedekah, ia ditolak oleh Allah, kalau ia berbelanja, maka haram pembelian dan perbelanjaannya, dan sekiranya diguna oleh warisnya, maka ia menambahkan azab kepada pemiliknya di alam barzakh.
Wahai anakku,
Istiqamahlah kamu dengan Surah al-Waaqi’ah dan solat dhuha, nescaya Allah murahkan rezekimu yang penuh dengan keberkatan. Janganlah kamu mengharapkan apa yang ada di tangan manusia, kamu akan kecewa; tetapi haraplah apa yang ada di tangan Allah, kerana ia lebih baik dan lebih kekal.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal, jauhi kami dari rezeki yang haram dan merosakkan kami, dan jadilah kami orang yang mengharap dariMu bukan kepada makhlukMu. Amin.
Senyum
Comments