Haram kecil atau Haram BESAR...
Kita perlu didik anak-anak tentang apa itu sistem nilai. Makan babi sama ada secubit daging atau seekor hukumnya tetap haram. Tiada yang dikatakan sebagai haram kecil atau haram besar. Mencuri, sama anak 10 sen atau RM10 atau RM1,000 atau RM1 juta namanya tetap mencuri juga. Itulah nilai yang kita mahu anak-anak tahu. Yang salah tetap salah, tidak kira kecil atau besar. Mereka yang sanggup buat tidak peduli pada perkara yang salah sama ada kecil atau besar bermakna sistem nilainya telah rosak. Begitulah juga dengan hutang. Sama ada kita hutang RM1 ringgit atau RM500 juta, namanya tetap hutang dan bayar tetap kena bayar. Mungkin terlepas di dunia tetapi tidak akan terlepas di akhirat.
Duit, kuasa, kedudukan, harta, nama bukanlah syaitan. Tetapi itu semua merupakan kanta pembesar yang akan membesarkan nilai-nilai yang ada daam diri kita. Saya percaya orang yang nilainya telah rosak, masa jadi orang kecil merompak secara kecil-kecilan tetapi bila jadi orang besar merompak secara besar-besaran. Orang tidak berduit gatalnya sikir-sikit bila dah berduit, gatalnya mula makin membesar. Sebaliknya orang yang ada nilai diri tidak akan berubah dalam apa juga kejayaan. Masa susah dermanya sikit-sikit bila senang dermanya besar-besar. Sebab itu sistem nilainya.
Seorang ibu yang tahu sistem nilai, apabila anaknya pulang dari tadika dan membawa bersamanya pensil warna yang bukan miliknya maka akan suruh anak itu pulangkan semula. Ibu yang tidak tahu sistem nilai akan berkata, "oh, mungkin ini pensil warna yang orang tah nak lega tak perlu beli bariu". Kalau ada barang pasti ada tuan. Kalau bukan kita tuannya pulangkan walau sebatang pensil.
Satu hari saya bawa anak saya Tengku Safwan ke MPH Kinta City, Ipoh. Usianya ketika itu 10 tahun (sekarang sudah 22 tahun). Saya belik beberapa buah buku dan dia juga ambil beberapa buah buku yang dia suka. Sampai sahaja di rumah, dalam beg plastik ada pensil mekanikal. Saya tanya isteri awak belikah? Isteri kata tidak. Saya juga tidak beli. Ketika itu kami sedar anak kami telah masukkan pensil dalam beg plastik tanpa pengetahuan kami. Saya panggil dia dan tanya dia tidak mengaku. Saya tinggikan suara dan tegas. Dia akhirnya mengaku. Ketika itu juga saya bawa dia masuk kereta dan terus pergi semula ke MPH. Saya suruh dia sendiri pulangkan pensil tersebut pada abang yang ada di kaunter jualan. Terpinga-pinga abang itu. Saya tidak beli pensil itu sebab saya tidak mahu anak saya fikir, "bila dia buat begitu nanti ayah dia belikan". Saya mahu ajar dia tentang sistem nilai. Mencuri itu salah. Mesti dipulangkan walau dalam apa cara sekalipun.
(dipetik dari Dr Tengku Asmadi)
Comments