Oksigen Cinta




Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. "Perasaan" adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jka ingin selamat, pastikan perasaan "bekerja" untuk kita, bukan sebaliknya.




Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggungjawab dan tanggungjawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggungjawab akan datang menyelamatkan "pertunjukan" dengan peranan yang lebih berkesan.




Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Waktu itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan macam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita trselamat, tetapi isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih "ekstrem" lagi terpaksa menyuap makan minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri.




Cinta mmg hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggungjawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tanggungjawab.




Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz "aku terima nikahnya" oleh suami bukan bererti kita menerima, sebaliknya untuk memberi kasih sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya.




Pun begitu bagi si isteri, penerimaan sebagai pasangan hidupnya bukan bererti untuk menerima tetapi juga untuk memberi; memeri kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa ragamu untuk suami. Anda telah membuat suatu akujanji yang paling suci dan tinggi dlam hidup anda, bukan untuk seketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suamimu bertubuh kekar, tetapi juga ketika dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!




Cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas dasar perkenalan, bukan sahaja perkenalan dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya itu cuba sama-sama mengatasinya, dan jika tidak, kita perlu terima seadanya, lantaran kita berkahwin dengan manusia bukannya malaikat.




Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. kepercayaan itu akan melahirkan tanggunjawab dan tanggungjawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah