SIAPA AKU DIMATA MU…
Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya.
Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita.
Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.
Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita.
Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.
Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya.
Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar.
Siapa insan baru yang akan anda temui hari ini?
Comments