Warkah buat anakku - pengalaman derma Ustaz Rani


Sedang berjalan-jalan, ada orang datang meminta derma. Jejaka tampan berpakaian kemeja bertali leher berkata ia adalah untuk rumah orang tua, Ustaz Rani terus memberikan derma.

Semasa makan, ada pula orang yang datang menjual pen-pen, katanya adalah tujuan untuk mengutip derma bahawa sebuah sekolah agama berdekatan, Ustaz Rani terus memberikan derma.

Kemudian, datang lagi seorang makcik buta yang dipimpin seorang anak perempuan yang datang menjual tisu untuk mengutip dana, Ustaz Rani sekali lagi terus memberikan derma.

Datang pula seorang kanak-kanak yang datang menjual keropok dari Terengganu dan merayu-rayu agar kami membeli keropoknya, Ustaz Rani membeli 3 dan duit lebih berbaki diberikan kepada kanak-kanak itu dengan pesanan belajar baik-baik.

Selepas makan, berjalan ke kereta terjumpa seorang yang memakai jubah sedang menjual buku agama, katanya untuk mencari dana untuk membaiki surau di kampungnya, Ustaz Rani terus membeli tiga buah buku.

“Banyak duit pakcik saya. Semua orang pakcik beri duit. Tapi kebanyakan mereka ini menipu duit pakcik saja dengan menagih simpati,” kata saya yang mengikuti Ustaz Rani.

“Astaghfirullah. Manalah pakcik ada duit banyak. Pakcik bagi aja sebab rasa seronok lihat orang gembira,” jawab Ustaz Rani.

“Mestilah gembira. Mereka dapat tipu pakcik saya yang baik hati dapat duit, mestilah gembira. Yang kena tipu ini pun gembira, itu yang saya pening,” sindir saya.

“Ini anta kena belajar mengawal otak. Masa menderma, saya cuma ada niat untuk membantu orang. Bagi saya, saya harap derma saya dapat mengurangkan sedikit sebanyak kesusahan hidup dia. Saya tak fikir mereka menipu.

Jika saya fikir mereka menipu, yang susah hati ialah saya bukan mereka. Saya nak menderma untuk berasa seronok, bukan menderma untuk rasa marah kena tipu. Jadi buat apa saya nak sangka buruk pada mereka kerana sangka buruk saya yang menyebabkan hati saya susah dan bukan mereka.

Saya seronok melihat mereka tersenyum. Itu sudah cukup. Saya dapat senyuman. Jika saya bersangka buruk bila nak melakukan niat derma, saya takkan dapat amalkan derma pada sesiapa kerana semua yang datang minta akan saya sangsi.

Daripada 5 tadi, kalau ada 1 yang saya dapat bantu pun saya dah gembira. Yang 4 lain mungkin ambil duit tadi untuk membeli makanan untuk anak-anak mereka, jadi saya kiralah saya membantu mengurangkan kelaparan untuk sekali makan.

Jadi kawallah otak. Buat dengan niat betul dan jangan sangka buruk. Jika kita sangka buruk apabila orang memerlukan bantuan, orang lain juga akan sangka buruk pada kita apabila kita meminta bantuan.

Duit ini tak boleh pegang. Sampai tangan kita, ia membantu kita. Apabila kita ada lebih sedikit bagilah orang lain untuk bantu orang lain pula. Makin kamu beri, makin banyak kamu akan dapat, percaya wahai anakku,” jawab Ustaz Rani.

Saya terdiam dan malu. Saya ingat saya hebat mengenali penipu derma, tapi sebenarnya saya jahil kerana mata saya hanya dapat melihat keburukan orang tapi tidak keburukan sendiri.

Wahai anakku,
Buat segala perkara dengan niat ikhlas. Jauhi sangka buruk, kerana yang terkena racun ialah hati kamu sendiri dan bukan hati orang yang disangka buruk olehmu.
Senyum

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah