Melihat muslimah dengan mata hati
Apabila kita memandang seorang perempuan dengan mata hati, maka kita tidak akan melihat kepada cantiknya, suara halusnya, manjanya, gediknya, lenggang-lengguknya. Kita juga tidak akan memandang kepada gebu kulitnya, timbul atau nipis bahagian dadanya, tinggi atau rendah badannya atau segala kualiti keperempuanan yang terdapat pada dirinya yang menggoda nafsu kelakian kita.
Tidak, bukan itu yang akan kita lihat.
Sebaliknya fitrah bersih kelakian kita yang merupakan seorang ketua, sang pembela, penjaga, seorang pemimpin akan mengarahkan pandangan kita kepada melihat kualiti seorang pengikut yang terdapat dalam diri perempuan itu.
1. Apakah dia boleh menjadi wanita yang taat ?
2. Apakah dia punya potensi yang boleh dimajukan dan dimanfaatkan ?
3.Apakah dia memerlukan pertolongan kita dan sedang berada dalam kesusahan ?
Seorang lelaki sejati apabila memandang wanita, dia akan dapat melihat kelemahan mereka lalu tampil untuk membantunya seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa Alaihissalam takala memandang dua orang perempuan (anak gadis Nabi Syuaib) sedang menghambat ternakan mereka maka dia pun bertanya dengan berkata :
قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu pun menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternakan kami), sebelum pengembala-pengembala itu pergi (dengan ternakannya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya." [Al-Qassos: 23]
فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ
Maka Musa pun memberi minum ternakan itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia pun kembali ke tempat yang teduh. [al-Qassos:24]
Lelaki sejati tidak akan mengambil kesempatan atas kelemahan kaum perempuan dan perempuan yang sejati pula tidak akan lupa daratan atau tidak akan lupa untuk membalas budi atas pertolongan lelaki. Hal ini dilakukan oleh anak gadis Nabi Syuaib yang berkata kepada bapanya ;
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Wahai bapakku ambillah dia bekerja dengan kita, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu dapat ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya." [Al-Qassos :26]
Allah mengajar kita fitrah yang asal, fitrah yang bersih bahawa lelaki itu sifatnya ialah pelindung kaum perempuan. Mereka apabila melihat seorang gadis yang yatim dan kesunyian, maka dia ingin mengahwininya agar dapat memberi perlindungan dan menjadi teman, melihat janda yang dalam kesulitan maka dia ingin nikahi agar dapat berkongsi kesusahan, melihat gadis yang muda dan mentah maka dia ingin bimbing dan bantu menunjuk jalan dalam kehidupan.
Kerana itu dalam sejarah, bukan sekali kita lihat lelaki-lelaki hebat yang menikahi wanita kerana faktor kasihan, ingin membelanya, ingin melindunginya dan kerana mahu menolongnya.
Mereka itulah sebaik-baik lelaki yang patut dijadikan pasangan dan seburuk-buruk wanita yang dicela pula ialah yang tidak reti bersyukur kepada pasangan dan gagal membalas budi baik sang pembelanya dan pemeliharanya dengan sikap yang sepatutnya !
Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;
أُرِيْتُ النَّارَ، فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ، يَكْفُرْنَ. قِيْلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ، وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئاً، قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ.
'Diperlihatkan Neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, kerana mereka itu kufur.” Para sahabat bertanya: “Apakah disebabkan kufurnya mereka kepada Allah?” Rasulullah menjawab: “Tidak, mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan dilakukannya (tak reti bersyukur). Seandainya seorang suami dari kalian berbuat kebaikan kepada isterinya selama setahun, kemudian isterinya melihat sesuatu yang buruk pada diri suaminya, maka dia pun akan mengatakan, ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan ada pada dirimu sedikit pun.’ [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Comments