Surat Dari Ayah


Wahai anakku,
Semasa engkau sering termenung dan murung, aku sedar kamu sekali lagi terkena masalah yang sama. Masalah engkau terlalu mudah membiarkan hatimu terikat pada seseorang.

Wahai anakku,
Sedarlah waktu hati engkau terikat pada seseorang, kamu akan melakukan segalanya untuk menggembirakan mereka dan membuat mereka senyum. Kamu akan terlupa mengenai kehendak kamu, kehendak orang lain menjadi keutamaan yang lebih tinggi daripada kehendakmu sendiri.

Tatkala ini, wahai anakku, engkau akan sentiasa memberi peluang kepada mereka, walaupun kamu tahu tidak berbaloi kerana tindakan mereka sering melukai hatimu. Kadang-kala mereka juga mengambil kesempatan pada engkau, dan kamu menjadi seorang yang lemah dan mudah dipengaruhi.

Tapi kerana rasa sayang di hati, wahai anakku, kamu merelakan dirimu dilayan sebegini, kerana kamu merasakan asalkan mereka tetap berada di dalam kehidupanmu, kamu dah cukup berpuas hati. Walaupun mereka mengecewakanmu berkali-kali, kamu tetap berada di sisi mereka waktu mereka memerlukan kamu. Engkau merasakan itulah kamu, dan itulah siapa kamu yang sebenarnya.

Ingatlah tatkala kamu terikat dengan seseorang, di hatimu sentiasa ada tempat untuk mereka. Sebab itulah kamu susah melepaskannya walaupun mereka merompak senyumanmu.

Wahai anakku,
Aku sedar masalah kamu kerana aku juga pernah berkali-kali mengalaminya ketika waktu muda aku. Aku faham engkau malu bercerita pada aku mengenai perasaan di hatimu walaupun aku sedikit terhiris kamu merasakan aku tidak dapat memahami perasaanmu.

Ingatlah wahai anakku, kamu hanya insan biasa, dan kamu tidak mungkin dapat lari daripada terikat perasaanmu pada seseorang. Tapi kematangan dan pengalaman boleh membantu dalam menguruskan gelora emosimu tatkala kamu semakin membesar.

Aku nukilkan ini untuk engkau tahu aku sentiasa bersedia untuk mendengar. Usah rasa malu pada aku, kerana aku tidak akan mencemuh mahupun memandang rendah padamu kerana kamu anak kesayanganku.

Jika kamu susah bercerita pada aku, ceritalah pada Tuhanmu. Mohonlah Tuhanmu membuka hatimu dan memberikan petunjuk padamu. Pastikan ikatan kamu pada Tuhanmu melebihi segala ikatan dengan manusia, dengan itu kamu tidak akan mudah terjerat dengan gelora hatimu yang terikat pada seseorang yang tidak mengerti untuk menghayatimu.

Dan kongsilah nukilan ini pada sahabat handaimu jika kamu terasa ini seolah-olah terkena pada sanubari hatimu.

Senyum.

- Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah