Berilah kemaafan, Mungkin ini Tidur Terakhirmu




Apabila tenggelam sang mentari, maka tabir malam pun menyelubungi. malam adalah untuk manusia merehatkan tubuh badan mereka yang sehari suntuk penat dan keletihan bekerja dan mencari rezeki. Malam menjadi betambah indah dengan rembulan tersenyum serta taburan jutaan bintang di langit. Malam bertambah syahdu dengan zikir sang unggas dan mergastua bertasbih memuji Ilahi. Sebagaimana siang dan malam berlalu menggamit hadirnya siang, sebagaimana siang dan malam silih berganti, maka begitu jugalah bersiliha gantinya tidur dan jaga.




Sungguh, semua yang Allah SWT cipta ini tidak ada yang sia-sia. Ada 1001 pengajaran dan hikmahnya. Pengajaran yang patut diambil para salikin untuk perjalanan yang masih jauh. Malam ini, di kamar tidur, aku merenung dalam-dalam diri yang alpa ini. Maha kerdil dan jahilnya diri aku ini, ya Tuhan. Mengapalah aku sering berbangga-bangga dengan "tittle" sebaik-baik ciptaan Allah SWT, sedangkan amat ketara dan sungguh memalukan apabila zikirku pada-Mu amat sedikit berbanding kemeriahan zikir sang unggas dan mergastua yang tidak jemu-jemu sahut-menyahut memuji-Mu.




Rasulullah mengumpamakan tidur itu sebagai 'mati kecil'. Kerana itulah agaknya kenapa kita di sunatkan berwuduk, berzikir, beristighfar, memaafkan kesalahan orang dan berwasiat sebelum tidur. Manalah tahu, entah-entah tidur kita pada malam itu juga adalah tidur yang terakhir. Tidur yang penghabisan. Berapa banyak sudah berlaku? Berapa banyak warga dunia yang berangkat semasa tidurnya? Pergi menghadap Ilahi membawa diri yang lalai daripada Allah SWT, diri yang berlumuran dorsa, dan dada yang penuh dendam kesumat dengan sesama Muslim.




Tatkala kelopak mata semakin berat dan jam di dinding menunjukkan pukul 1.30 pagi, Fatihah dan doa kubacakan berturut-turutm "Dengan nama-Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup."




Tiba-tiba....Bip! Bip! Bip! Bip! Telefon di genggamku memberi isyarat menerima mesej. Hatiku sedikit berdebar. Gerangan siapakah yang menghantarnya? apakah kali ini berita kematian? Ahh..Ya Rabb, memang sungguh dan benar kali ini aku menerima berita kemaian! 'Mesej kematian' daripada seorang teman!




Tertera di skrin telefon genggamku wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya: "Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati itu, maka janganlah kamu tidur. (Namun) Seperti mana engkau akan tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui pula benarnya hari kebangkitan, maka janganlah (sekali-kali) engkau cuba bangun daripada tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga juga daripada tidurmu), maka demikian juga dengan hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematianmu."




"Ya Allah Ya Tuhanku, jika tidurku ini tidur yang penghabisan, maka ampunkanlah segala dosaku, maafkan segala kesalahanku dan redhalah pada diriku." Amin

Comments

Popular posts from this blog

Antara Khasiat Daun Sireh

Kumpulan Doa dan amalan mencari barang hilang

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah