Hak Muslim: Isteri tertekan boleh tuntut fasakh
Suami abai tanggungjawab sepanjang tempoh 14 tahun perkahwinan
SAYA dan suami bekerja sebagai guru dan sudah berkahwin 14 tahun serta mempunyai enam anak. Sepanjang perkahwinan kami, semua gaji saya akan diperuntukkan untuk membeli keperluan rumah tangga dan sekolah anak, sedangkan suami tidak pernah ambil peduli keperluan anak. Suami lebih mendahului orang luar dan jarang berada di rumah. Balik dari sekolah, beliau akan tidur dan apabila bangun, menghabiskan masa di kedai kopi sepanjang hari sehingga lewat malam. Rutin hidup beliau setiap hari benar-benar mengecewakan saya menyebabkan jiwa saya tertekan.
Kami sering bergaduh dan saya meminta suami menceraikan saya tetapi tidak dipersetujuinya. Saya sedih apabila suami mengatakan dia tidak mahu melepaskan saya kerana katanya susah mencari isteri yang baik. Disebabkan tindakannya, saya sudah tiada perasaan sayang lagi terhadapnya malah timbul benci, tertekan dan saya sering terfikir untuk membunuh diri. Saya sangat mengharapkan suami berubah dan berada bersama kami sekeluarga di rumah serta mendidik anak yang sedang membesar. Tetapi apabila saya cuba berbincang, beliau akan menolak mentah-mentah semua pendapat saya, umpama menyiram air ke daun keladi.
Saya mohon pendapat tuan, apakah yang perlu dilakukan dan apakah ada cara untuk keluar daripada ikatan perkahwinan begini?
Guru tertekan
Pahang
SAYA simpati dengan apa yang puan lalui disebabkan tindakan suami yang kurang bertanggungjawab. Saya melihat setiap individu adalah salah satu juzuk daripada keluarga (usrah) mempunyai peranan masing-masing yang tersendiri.Individu adalah batu bata dalam pembentukan sesuatu keluarga. Batu bata yang sudah diikat dalam keluarga itu pula adalah sel penting dalam pembentukan masyarakat.Jika ikatan batu bata individu dalam keluarga itu longgar, maka goyahlah bangunan masyarakat.Dalam berkeluarga, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjadikan perkahwinan berjaya. Islam menetapkan tanggungjawab dan hak suami serta isteri seperti berikut:
# Tanggungjawab dan hak suami. Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Hadis riwayat Muslim).Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 19)
# Tanggungjawab dan hak isteri. Isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang bukan maksiat.Isteri juga tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami.Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). (Hadis riwayat Muslim)Begitu juga dengan maruah, setiap isteri mesti menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri yang salihah; apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suami menyuruhnya, dia taat, dan apabila suaminya tidak ada bersamanya, dia menjaga dirinya dan harta benda suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
# Tanggungjawab bapa terhadap anak. Islam juga mewajibkan bapa secara khusus memberi nafkah kepada anak. Menjaga kebajikan anak, termasuk menyediakan dalam kadar munasabah keperluan untuk hidup, belajar dan kesihatan.Begitu juga anak wajib dididik supaya sentiasa beribadat dan berakhlak mulia. Tugas mendidik berada di atas kedua ibu dan bapa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak kamu dengan tiga perkara; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Dailami)Kini kita selalu berjumpa dengan masalah hampir sama seperti puan hadapi. Suami tidak bersungguh menjaga kebahagiaan dan menunaikan tanggungjawab dalam keluarga.Perkembangan ini sangat menyedihkan kerana apabila bapa tidak menjalankan tugasnya dengan baik, anak kurang terbentuk dan hilang hormat kepadanya. Sedangkan anak adalah zuriat dan menjadi pelapis masa depan yang perlu diberi perhatian, didikan serta kasih sayang.Kadangkala ada suami yang memberi wang sebagai nafkah tetapi tidak mendidik anak dengan baik.Walaupun bapa memberi nafkah kepada anaknya sekalipun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan terus tanggungjawabnya mendidik anak kerana semua ibu bapa adalah penjaga dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai orang di bawah jagaannya.
Jika suami puan masih berterusan mengabaikan tanggungjawab nafkah terhadap anak, puan boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah supaya suami diperintahkan membayar nafkah anak dalam jumlah sewajarnya.Perintah pembayaran nafkah anak juga boleh dibuat dengan cara potongan gaji suami.Tetapi perlulah diingatkan bahawa campur tangan mahkamah adalah jalan atau pilihan terakhir.
Cubalah berbincang dengan cara baik dan penuh hikmah.Sekiranya nasihat atau kata-kata puan terhadap suami bagai mencurah air ke daun keladi, sebaiknya puan berusaha mendapatkan nasihat atau pertolongan daripada ahli keluarga lebih tua dan matang yang disegani suami.Individu itu mestilah seorang yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, kata-kata dan nasihatnya didengar dan diterima oleh suami.
Jika usaha ini juga tidak berjaya, puan panjangkan perkara ini ke Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam tempat puan tinggal.Biarlah pegawai kaunseling di jabatan berkenaan berjumpa dan menasihatkan suami.Kadangkala suami akan mendengar nasihat dan teguran yang dibuat pegawai kaunseling ini.Jauhkan fikiran puan daripada memikirkan perkara yang menyesatkan seperti membunuh diri.Membunuh diri bukan saja berdosa besar, malah puan tidak akan mencium bau syurga. Membunuh diri juga bukan penamat masalah.Fikirkanlah nasib anak puan yang masih memerlukan belaian seorang ibu yang penyayang dan mulia.Sebagai orang Islam, kembalilah kepada ajaran Islam yang syumul dan lengkap.
Banyakkan berdoa, sembahyang hajat dan memohon keampunan daripada Allah. Mudah-mudahan Allah membuka hati suami untuk menjadi suami yang baik yang akan dikenang baik sepanjang hayat oleh isteri dan anak.Apabila segala ikhtiar gagal dan puan tidak mahu lagi berada dalam ikatan perkahwinan, maka puan boleh menuntut fasakh atau cerai taklik atas alasan pengabaian nafkah oleh suami terhadap diri puan.
# Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan soalan boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com